PENGAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER DI
SEKOLAH RENDAH DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua....
Alhamdulillah dengan limpah kurnianya kita masih diberikan kesempatan untuk terus bernafas di muka Allah ini.
Pendidikan tidak formal secara umumnya boleh diperolehi daripada berbagai institusi yang terdapat di dalam sesuatu masyarakat seperti institusi pekerjaan, perkahwinan, keluarga dan juga daripada pengalaman kehidupan dalam kalangan sesuatu masyarakat. Pendidikan formal yang lebih sistematik pula biasanya diperolehi dari sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi. Sekolahsekolah dibina dengan tujuan untuk memberikan satu sumbangan yang penting kepada pendidikan kanak-kanak dan remaja di sesebuah negara. Matlamat dan tujuan pendidikan adalah berbeza di antara negara dan juga di dalam negara itu sendiri. Persekolahan adalah proses yang hampir sama di mana-mana negara. Institusi sekolah adalah dirancang supaya bahan-bahan pengajaran dan guru memberi pendidikan kepada satu kumpulan pelajar yang biasanya terdiri daripada 20 hingga 60 orang bagi seseorang guru. Kebanyakan proses pengajaran dibuat dengan sistematik supaya pengetahuan yang diperolehi dalam satu semester atau tahun adalah berkesinambungan, dengan pengetahuan yang diberi dalam semester atau tahun diguna terus ke tahun yang berikutnya. Hasrat negara ialah untuk memberi pendidikan yang secukupnya kepada setiap individu. Sekolah mempunyai peranan penting untuk melahirkan individu yang cemerlang ke arah membentuk negara yang cemerlang (Wan Zahid 1994).
Walaupun begitu terdapat sekumpulan pelajar di sekolah yang kurang berupaya untuk mencapai kecemerlangan akademik. Kumpulan pelajar ini sentiasa mendapat markah rendah dan gagal dalam peperiksaan (Mohd. Said 1994). Kegagalan seumpama ini melahirkan perasaan hampa di kalangan guru. Pihak sekolah pula menganggap ini sebagai satu pembaziran masa dan tenaga (Pierce1994).
Pelajar pencapaian akademik rendah biasanya diberi label oleh para guru sebagai lemah, pemalas dan membiarkan mereka berada dalam keadaan begitu rupa tanpa dicuba sebarang pemulihan akademik. Justeru itu, pelajar berpencapaian akademik rendah perlu diberi tumpuan dalam perkembangan intelek mereka. Dalam situasi yang sebenar, pelajar berpencapaian akademik rendah merupakan golongan manusia yang mempunyai aspirasi yang tinggi seperti pelajar-pelajar lain . Walau bagaimanapun sistem persekolahan yang lebih menekankan peperiksaan kurang memberi tumpuan terhadap kejayaan atau kemahiran mereka. Pelajar berpencapaian akademik rendah yang gagal di sekolah boleh menjadi satu kehilangan besar kepada negara dari perspektif sumber manusia dan potensi pengeluaran negara.
Sehubungan itu, Krouse dan Krouse (1981) dan Brown dan Langer (1990), mengatakan terdapat dua faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik rendah di kalangan pelajar. Pertama ialah status sosio ekonomi tetapi adalah sukar untuk diubahsuai oleh pihak sekolah. Kedua ialah kekurangan kemahiran kognitif. Mengikut Phillips (1992), kemahiran kognitif memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi akademik pelajar. Faktor ini mudah diubahsuai melalui pemulihan akademik. Pelajar-pelajar berpencapaian akademik rendah tidak dapat melakukan aktiviti-aktiviti kognitif dengan memuaskan dan ini menyebabkan mereka memperolehi markah yang rendah.
Kajian-kajian yang telah dijalankan oleh Swanson dan Ransby (1994), Hulme dan Mackenzie (1992) membuktikan bahawa masalah utama yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berpencapaian akademik rendah ialah untuk mengingat kembali maklumat yang penting. Mereka juga berpendapat masalah ini berkaitan dengan ingatan jangka pendek. Tetapi, kajian Jones et al. (1988) membuktikan bahawa masalah seumpama ini boleh diatasi dengan menggunakan strategi dan kaedah pengajaran kognitif yang sesuai. Kaedah pengajaran kognitif membolehkan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir seperti membanding dan membeza, membuat generalisasi, membuat keputusan, membuat ramalan, mencipta metafora, menerangkan sebab dan menyelesaikan masalah (Meister & Rosenshine 1992). Kaedah ini dapat diadaptasikan melalui pengajaran berbantukan komputer (PBK) kerana dengan menggunakan kaedah PBK pelajar dapat menguasai kemahiran berfikir dengan lebih baik dan berkesan.
Oleh itu, adalah wajar bagi guru-guru Bahasa Melayu di seluruh Malaysia terutamanya guru di sekolah rendah menggunakan berbagai-bagai kaedah penyampaian untuk memudahkan berlakunya perubahan minat, tingkah laku, kemahiran dan kognitif pelajar-pelajar atau dengan perkataan lain memudahkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran itu berlaku. Aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam mengelolakan pengalaman pembelajaran amatlah banyak dan berbeza-beza mengikut keadaan. Pengintegrasian teknologi maklumat (ICT) dalam pendidikan dan pengajaran dalam mampu menjana pengalaman pembelajaran yang terbaik bagi murid dan lebih berkesan seiring dengan perkembangan zaman dalam usaha mencapai matlamat Wawasan 2020.
Terima kasih diatas perkongsian yang berguna...
BalasPadam